KUALA LUMPUR | Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sasaran suntikan vaksin pada Julai dinaikkan sehingga purata 300,000 suntikan sehari.
Katanya, sasaran itu dibuat selaras dengan kapasiti vaksin yang semakin meningkat dan mula diterima daripada negara pembekal.
“Sasaran 150,000 suntikan sehari pada Jun tercapai dengan purata suntikan dicapai pada bulan Jun adalah 170,000 dos sehari. Oleh itu sasaran bulan Julai dinaikkan kepada purata 300,000 suntikan sehari.
“Pada bulan Mei, jumlah penerima vaksin hanya 5.9% daripada populasi Malaysia namun begitu ianya meningkat pada Jun, dan jumlah telah meningkat sebanyak 200% kepada 18% populasi.
Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 60% warga emas yang berdaftar telah menerima suntikan sekurang-kurangnya satu dos.
“Kapasiti vaksinasi akan ditingkatkan dan untuk perbandingan, sepanjang Februari sehingga Jun, jumlah vaksin yang diterima serta telah disuntik adalah sebanyak 8 juta dos. Tetapi bagi bulan Julai sahaja, kita akan menerima 12 juta dos vaksin.
“Sebanyak 1,400 PPV sedang beroperasi. Jumlah akan ditambah termasuk penglibatan 1,500 klinik swasta dan 120 hospital swasta yang akan turut menjadi PPV,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Malaysia juga sudah dan akan menerima sumbangan vaksin daripada Jepun, Amerika Syarikat dan China.
Katanya, vaksin satu dos iaitu CanSino juga dijangka diterima dan mula digunakan pada bulan ini.
“Adanya vaksin CanSino, ia akan memudahkan vaksinasi kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
“Selain itu aplikasi MySejahtera akan ditambahbaik dan mutu perkhidmatan di PPV akan sentiasa dipertingkatkan,” katanya.