KUALA LUMPUR | Jumlah pesakit COVID-19 (termasuk kes suspected/ probable) masih lagi tinggi dan belum menunjukkan penurunan khususnya di kawasan Lembah Klang.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 1,224 pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di mana 567 pesakit berada di Lembah Klang iaitu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Katanya, terdapat juga ramai pesakit kritikal yang masih berada di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital di Lembah Klang yang belum dapat dimasukkan ke wad kerana kesesakan dan kekurangan katil di wad dan ICU.
“Begitu juga dengan sejumlah besar pesakit COVID-19 kategori tiga dan kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen yang terpaksa dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah MAEPS.
“Antara langkah yang sedang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk meningkatkan kapasiti Hospital Kuala Lumpur (HKL) merawat pesakit COVID-19 kategori empat dan lima serta penyumberluaran (outsourcing) dengan merujuk pesakit bukan COVID-19 dari HKL ke hospital swasta berdekatan,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini malam ini.
Beliau berkata, antaranya Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan dipertingkatkan kapasiti agar lebih ramai pesakit COVID-19 kategori empat dan lima dapat dirawat.
Katanya, meningkatkan kapasiti merawat pesakit COVID-19 di Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang serta menjadikan Hospital Ampang sebagai hospital COVID-19 sepenuhnya seperti Hospital Sungai Buloh mulai 30 Jun lalu.
“Terdapat 17 hospital yang merawat pesakit COVID-19 di sekitar Lembah Klang iaitu Hospital Selayang, Hospital Kajang, Hospital Ampang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Banting, Hospital Shah Alam, Hospital Serdang, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Hospital UiTM, Hospital Sungai Buloh, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, Hospital Rehabilitasi Cheras, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tunku Mukhriz UKM dan Hospital Putrajaya.
“Semoga kita terus diberi kekuatan dan kita doakan wabak ini akan berakhir,” katanya.