PASIR MAS | Sebanyak 4,000 bakul akan diagihkan kepada penduduk terjejas akibat pelaksanaan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) di beberapa kampung di Parlimen Pasir Mas.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, agihan bakul makanan itu bermula semalam dengan anggaran 300 hingga 400 bakul makanan sehari.
Katanya, antara kawasan agihan bakul makanan termasuk di Kampung Kasa, Jiah, Padang Embun, Bechah Durian, Pohon Buluh dan beberapa lokasi lain.




“Saya berharap bakul makanan yang mengandungi makanan keperluan harian termasuk beras, gula, minyak masak dan gandum ini dapat meringankan beban penduduk ketika berdepan PKP 3.0.
“Agihan ini akan dilakukan secara berperingkat sehingga 4,000 bakul makanan yang menggunakan wang peruntukan RM300,000 menerusi program Bantuan Bakul Makanan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) habis diagih,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, peruntukan RM300,000 itu sepatutnya hanya dapat membeli 3,000 bakul makanan sahaja, namun kerana penjimatan pihaknya dapat menyediakan 4,000 bakul makanan untuk penduduk.