By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Minat mendalam terhadap warisan barang purba mendorong Mohamad Fauzie Kamaruddin mengumpul sebanyak 15,000 koleksi pelbagai jenis barang antik dari dalam dan luar negara.
Pemilik Galeri Kraf Warisan Purba berusia 38 tahun itu mengakui minatnya terhadap barang antik bermula sejak usia 14 tahun.
Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Abg G Purba mula berjinak dengan barang antik dengan bermodalkan wang simpanan sebanyak RM2,000 untuk mendapatkan pelbagai jenis barangan lama dari negeri ini dan juga luar Kelantan.
Katanya, pada usia 14 tahun, dia mula diperkenalkan dengan keunikan barang purba daripada seorang penduduk Kampung Pantai Sabak Pengkalan Chepa dikenali sebagai Mohd Kamal Musa yang juga dianggap sebagai gurunya.
“Bermula dari usia 16 tahun saya dihadiahkan sebilah pedang Melayu oleh guru saya dan sejak itu minat menyimpan dan mengumpul barang antik semakin menebal dalam diri saya.
“Saya beli dan kumpul barang antik untuk dijadikan koleksi peribadi dan turut menjualnya sekiranya bersesuaian dengan harga oleh pembeli,” katanya ketika ditemui Journal Malaysia di galerinya di Kampung Puteh di sini.
Anak kelima daripada 11 beradik berasal dari Pantai Sabak Pengkalan Chepa itu mengakui, dia sanggup menghabiskan masa antara dua hari hingga seminggu berada di satu-satu lokasi termasuk di luar Kelantan untuk bertemu dengan pemilik barang antik bagi urusan pembeliannya.
Katanya, lebih RM100,000 dibelanjakan sebagai modal bagi mendapatkan barang antik bernilai antaranya keris, pisau, badik, klewang, topi lama selain tempayan, periuk, jebak puyuh, batu permata pelbagai jenis dari dalam dan luar negara.
Selain itu katanya, mata wang pelbagai negara serta barang antik berharga dari seluruh negara termasuk dari Thailand, Vietnam dan Indonesia turut menjadi koleksi peribadi dan jika bersesuaian dengan harga daripada pembeli, dia bersedia menjualnya.
Katanya, dengan hasil jualan itu ia dapat digunakan sebagai modal pusingan selain menjana pendapatan untuk dirinya sekeluarga.
“Ramai peminat tegar barang antik sedia membeli barang berkenaan di galeri saya, malah ada yang mencecah harga RM30,000 hingga RM50,000 berdasarrkan nilai pasaran semasanya.
“Saya menikmati kepuasan tersendiri dengan mengumpul koleksi barang purba selain ianya sebagai punca rezeki untuk saya sekeluarga,” katanya.
Beliau berkata, barang purba yang dibelinya baik dari negeri ini serta negeri lain mempunyai nilai tersendiri berdasarkan keasliannya selain tempoh usianya mencecah antara 80 hingga 100 tahun.
“Semakin lama barang antik itu, nilainya semakin tinggi, malah ramai yang sanggup membeli dengan harga lebih sekali ganda atau lebih untuk mendapatkan baik dijadikan koleksi peribadi atau dijual semula.
“Selain dijadikan koleksi, banyak barang antik di galeri saya sudah terjual kerana ramai peminat barang lama itu yang sanggup membeli untuk dijadikan hiasan di rumah,” katanya.
Bagaimanapun katanya, barang purba yang cukup bernilai di dalam simpanan masyarakat negeri ini didapati sudah berkurangan dan sukar diperoleh sekarang.
Menurutnya, sebagai contoh, keris lama warisan kepahlawanan Melayu jarang ditemui dan jika ada pun tidak akan dijual pewaris mereka kerana mahu menjadikan koleksi peribadi keluarga.
Katanya, beliau akan menjelajah ke beberapa negeri serta di luar negara untuk mendapakan barang antik untuk dijadikan koleksi di galerinya dan turut dijual kepada pengemar barang lama.
“Terdapat pelajar atau penuntut universiti datang ke galeri saya untuk melihat secara dekat barang antik yang ada dalam simpanan saya sama ada untuk kajian atau rujukan.
“Bagi saya, selain dijadikan koleksi peribadi dan dijual kepada peminat, nilai dan keaslian barang antik itu dapat menjadi rujukan dan dikenali oleh generasi masa kini,” katanya yang turut dibantu empat pekerjanya.
3 Comments
Aslkm wth. Berminat nak beli aset purba?
Sayaa ada jual keris dan badik lama seratus tahun lebih , berminat boleh pm facebook din ahmad
Saya ade gong lama.ade sesape yg mncri gong lame bleh pm Facebook ashriqhaqim