KOTA BHARU | Dua lelaki maut dalam kemalangan di Jalan Padang Kala, Jalan Kota Bharu – Kuala Terengganu, dekat Peringat di sini, hari ini.
Kejadian jam 1 tengah hari itu menyebabkan mangsa yang juga anggota polis, Sarjan Zulkifli Ab Rahman, 58, dan Mohd Muslimin Mat Sin, 32, maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kemalangan berlaku apabila Mohd Muslimin yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 dipercayai datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba membuat pusingan U untuk balik ke rumahnya di Kampung Jambu Merah.
Katanya, akibat jarak yang terlalu hampir, anggota polis yang menunggang motosikal Jenis Kawasaki Versys 650 tidak sempat mengelak dan berlaku pertembungan.
“Kedua-dua mangsa dan kenderaan jatuh di tempat kejadian. Akibatnya mereka mengalami kecederaan parah di bahagian muka, kepala dan dada serta tidak sedarkan diri
“Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan oleh penolong pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, anggota polis berkenaan bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas dalam perjalanan dari arah Peringat menghala ke Melor untuk pulang ke rumahnya di Pasir Puteh selepas selesai bertugas.
Katanya, mereka dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.