By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Penurunan kes harian Covid 19 di Kelantan mendorong dua lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid 19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini akan ditutup secara berperingkat bermula Ogos ini.
Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, ketika ini sebanyak 10 PKRC yang masih beroperasi dengan seramai 646 orang pesakit Covid 19 menerima rawatan di pusat itu sehingga semalan.
“Bermula Ogos ini, dua lagi PKRC akan ditutup iaitu di Dewan Jubli Perak dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM).
“Apabila kedua-dua PKRC itu ditutup, pesakit lelaki akan ditempatkan di PKRC di Kompleks Belia Dan Sukan, Panji dan PKRC Gelanggang Seni,” katanya kepada pemberita di PKRC di Kompleks Belia dan Sukan di Panji di sini, hari ini.
Terdahulu, Dr Mohd Zurairie menerima sumbangan sebanyak 100 ekor ayam untuk diagihkan kepada barisan hadapan di PKRC di sekitar daerah ini daripada Jukee Ayam dan Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI).
Sumbangan ayam itu disampaikan Presiden KEMUDI, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi sambil disaksikan Penyelia Jukee Ayam, Mohd Rozi Ab Rahim.
Dr Mohd Zurairie berkata, pihaknya mendapati penggunaan katil di semua PKRC di negeri ini hanya sebanyak 50 peratus sahaja berbanding sebelum ini mencapai tahap penggunaan maksimum bagi menempatkan pesakit yang positif COVID-19.
Katanya, daripada 10 PKRC yang beroperasi sekarang seramai 300 petugas kesihatan yang masih ditugaskan di PKRC itu.
“Setiap PKRC, kita ada seramai 30 orang petugas kesihatan dan apabila pusat itu ditutup, mereka yang terbabit akan kembali bertugas menjalankan tugas hakiki mereka ditempat asal masing-masing.
“Petugas kesihatan ini boleh dipanggil kembali bertugas di PKRC sekiranya memerlukan penugasan berkenaan kerana mereka ini sudah berpengalaman mengendalikan pusat berkenaan dan pesakit Covid 19,” katanya.
Dalam pada itu katanya, orang ramai perlu sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan kes harian Covid 19 terus menurun ke tahap paling rendah atau tiada langsung.
Katanya, apabila kes harian tinggi, kemasukan pesakit Covid 19 adalah meningkat sebagaimana situasi kes berkenaan sebelum ini.
“Sekiranyq lebih banyak PKRC yang ditutup, kakitangan di pusat itu dapat kembali bertugas di hospital seperti biasa.
“Bagi membuka PKRC bukan perkara mudah kerana memerlukan mobilasi anggota selain barang-barang serta keperluan lain untuk ditempatkan di PKRC,” katanya.