BAKU | Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand menyifatkan Christian Eriksen kekal sebagai sebahagian pasukannya selepas skuad Danish Dynamite itu meneruskan pencapaian baik ke separuh akhir Euro 2020 dengan kemenangan 2-1 mengatasi Republik Czech di Baku.
Lapor Berita Harian yang memetik AFP, Eriksen mengalami serangan jantung mengejut pada perlawanan pembukaan negaranya dalam kejohanan itu berdepan Finland dan memerlukan bantuan kecemasan di padang, sebelum pulih sepenuhnya ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Denmark yang terkejut dengan insiden itu tewas 1-0 kepada Finland selepas perlawanan bersambung, selain kalah 2-1 di tangan Belgium.
Namun, 10 gol dalam tiga kemenangan berturut-turut membawa skuad Hjulmand ke Wembley awal pagi Khamis ini yang juga separuh akhir keempat buat mereka pada Kejohanan Eropah.
“Saya memikirkan mengenainya ketika perlawanan dan selepas perlawanan, saya terus memikirkan betapa menakjubkan untuk melihatnya bermain di sini,” kata Hjulmand mengenai perancang Inter Milan itu.
“Dia masih sebahagian besar daripada pasukan ini dan memainkan peranan penting dalam usaha kami ke Wembley. Pasukan ini bukan dibina semalam dan dia menjadi sebahagian daripada pasukan sejak sekian lama.
“Saya berharap dia berada di sini. Saya menghantar banyak ucapan buatnya dan dia memainkan peranan penting dalam keputusan besar ini.”
Tamat