ROM | Pertahanan England, Harry Maguire menyifatkan kemenangan sekadar melangkah ke separuh akhir Euro 2020 belum cukup buatnya selepas membelasah Ukraine 4-0, pagi tadi.
Lapor AFP, Maguire menjaringkan gol kedua pasukannya di Rom, tiga tahun selepas meledak jaringan buat kemenangan England di suku akhir Piala Dunia ketika menentang Sweden.
Maguire percaya betapa pasukan sudah belajar daripada kesilapan ditewas 2-1 di tangan Croatia di separuh ahir di Russia.
“Perasaan yang hebat, berada di separuh akhir berturut-turut dalam kejohanan besar adalah satu pencapaian, tetapi kami tidak akan terhenti di sini.
“Kami mempunyai perlawanan besar lagi yang perlu diharungi dan mahu pergi lebih jauh, berbanding apa yang dilakukan di Piala Dunia.
“Pencapaian ini menunjukkan prestasi yang kami lakukan selaku sebuah negara. Harap peningkatan ini dapat diteruskan kerana kami mempunyai satu lagi perlawanan besar yang akan datang.” kata kapten Manchester United itu.
Jaringan Maguire dan gol pertama England buat Jordan Henderson selepas 62 kap itu dilengkapkan dengan dua ledakan Harry Kane bagi membolehkan England mara ke separuh akhir.
“Kami berbincang sebelum perlawanan, kami perlu menjadi lebih baik dalam menyerang,” kata Maguire.
“Saya mempunyai hubungan yang baik dengannya. Ia sesuatu yang baik apabila dapat menjaringkan gol, tetapi apa yang penting adalah kemenangan.
“Kami belum lagi selesai dengan separuh akhir. Kami perlu berehat, kembali cergas dan bersaing dalam satu lagi perlawanan besar.”
England dijadual kembali ke Wembley pada Rabu ini, venue yang mereka pernah beraksi untuk empat perlawanan dalam kejohanan dengan 60,000 penonton dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan menentang Denmark.
Tamat