BAKU | Denmark menewaskan Republik Czech 2-1 dalam aksi suku akhir di Stadium Olimpik, Baku awal pagi tadi sekali gus menempah tiket ke separuh akhir Euro 2020.
Lapor Agensi, kemenangan itu akan membawa Denmark bertemu England yang turut ‘membelasah’ Ukraine 4-0 di Rom, pagi tadi.
Pada perlawanan itu, Thomas Delaney membuka jaringan seawal minit kelima selepas menanduk masuk bola sepakan sudut menewaskan penjaga gol Tomas Vaclik.
Kasper Dolberg yang meledak dua gol ketika menentang Wales seminggu lalu, menambah jaringan tiga minit sebelum rehat untuk meletakkan Denmark semakin hampir dengan separuh akhir.
Bersambung babak kedua, dua pertukaran dilakukan pengendali Republik Czech Jaroslav Silhavy menyaksikan perubahan rentak dan ia membuahkan hasil apabila Patrik Schick merapatkan jurang hanya selepas empat minit.
Ia adalah jaringan kelima Schick di kejohanan ini dan menyamai jumlah gol penyerang Portugal Cristiano Ronaldo yang sudah tersingkir untuk merebut Kasut Emas.
Sebelum itu tiga percubaan tepat dilakukan Rep Czech menerusi Michael Krmencik yang dimasukkan ketika rehat serta Antonin Barak dan Schick dalam tiga minit pertama babak kedua.
Bagaimanapun skuad kendalian Kasper Hjulmand berjaya mengekalkan kelebihan hingga tamat permainan.
Denmark kini semakin hampir untuk mengikut jejak skuad yang menjuarai gelaran Eropah pada tahun 1992, sekali gus memberikan hadiah paling berharga buat Christian Eriksen yang terkena serangan jantung pada perlawanan pembukaan.
Tamat