By Ismail Muhamad
TUMPAT | Seorang balu dua anak, berdepan detik cemas apabila rumahnya di Kampung Kutan Tengah dimasuki pencuri dalam kejadian pagi semalam.
Dalam kejadian 6.25 pagi itu, dia yang berasal dari Surabaya Indonesia sempat mengelakkan mukanya daripada terkena televisyen yang dilemparkan pencuri ke arahnya ketika cuba meloloskan diri dari rumahnya.
“Nasib baik saya sempat mengelak, jika tidak muka saya boleh pecah atau cedera terkena televisyen yang dilemparkan ke arah saya oleh pencuri.
“Mungkin pencuri itu terkejut sebaik menyedari kepulangan saya ke rumah selepas menghantar kuih dan nasi lemak ke kedai berhampiran kampung, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kutan Tengah di sini, hari ini.
Terdahulu Iqromah yang mempunyai dua anak perempuan berumur 17 tahun dan 19 tahun menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang turut menyalurkan sumbangan peribadi kepada balu berkenaan.
Dalam kejadian itu, Iqromah mengalami kerugian apabila sejumlah RM1,080 wang tunai miliknya dicuri orang dalam kejadian kecurian di rumahnya pagi semalam selain televisyennya rosak.
Dia berkata, wang yang hilang itu hasil wang zakat dan bantuan kerajaan yang diterimanya sebelum ini.
Menceritakan lanjut kejadian kecurian di rumahnya, dia yang baru pulang menghantar kuih dan nasi lemak di kedai di kampung itu terdengar bunyi sesuatu di dalam rumahnya.
“Sebaik membuka pintu kira-kira 6.25 pagi itu, saya terlihat seorang lelaki di dalam rumah.
“Oleh kerana terkejut, pencuri itu melemparkan televisyen ke arahnya sebelum melarikan diri,” katanya.
Menurut Iqromah, sejak suaminya meninggal dunia pada tahun 2009, dia menyara keluarga dengan menjual kuih dan nasi lemak di kedai kopi berhampiran sekolah di kampung berkenaan.
Katanya, hasil daripada menjual kuih dan nasi lemak, dia mampu memperoleh pendapatan antara RM30 hingga RM50 setiap hari.
“Saya perlu membesarkan dua anak perempuan dan meneruskan kelangsungan hidup dengan menjual kuih dan nasi lemak bagi menjana pendapatan harian.
“Hasil daripada jualan kuih dan nasi lemak dengan meletakkan jualannya di dua kedai kopi di kampung itu, dapatlah dijadikan punca rezeki untuk sara hidup keluarga, ” katanya.
Katanya, dia sekeluarga berterima kasih kepada Menteri Besar yang prihatin dengan nasib dirinya sekeluarga.