TANAH MERAH | Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk melahirkan cahaya mata baharu, seorang ibu empat anak meluahkan kerisauannya dek kerana kekangan kewangan.
Syahira Ghani berusia 27 tahun itu berkata, kebimbangan terbabit menghantuinya kerana terputus punca pendapatan apabila suaminya, Suhairi Mat Sulaiman,39, tidak dapat bekerja ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Suami kerja sebagai tukang rumah, sekarang tidak dapat bekerja dan hanya mengharapkan upah membaiki zink rumah orang kampung. Dapatlah upah RM100 seminggu,” katanya yang tinggal di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau di sini.
Nilai tersebut terlalu kecil buat keluarga Syahira kerana masih perlu menampung perbelanjaan empat orang anak berusia lima hingga 12 tahun termasuk tiga yang masih bersekolah selain ubat serta rawatannya yang sedang mengandung.
Syahira berkata, keluarganya juga perlu memikirkan sumber kewangan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM150 sebulan.
Tidak cukup dengan itu, Syahira yang sarat mengandung itu juga melalui ujian cukup besar dalam hidupnya kerana mempunyai sejarah kematian anak yang berkemungkinan dari penyakit ‘genetic metabolic marples syrup urine disease’ dan berkemungkinan untuk hamil anak yang mempunyai penyakit sama.
Disebabkan itu, dia juga perlu menghantar ujian diagnostic genetic marples syrup urine disease panel iaitu ujian darah ibu dan anak yang bakal dilahirkan ke invitae San Francisco, Amerika Syarikat untuk ujian.
Katanya, anggaran untuk kos rawatan terbabit diperlukan sebanyak 250 US Dollar atau bersamaan RM1040.88
Kesusahan dialami Syahira sekeluarga mendapat keprihatinan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Agama Islam (MAIK) yang mana sumbangan segera berupa wang tunai telah disampaikan Imam Tua Masjid Ismail Petra Tanah Merah, Wan Saifuddin Wan Abdul Ghani.
MAIK mengharapkan sumbangan berkenaan dapat meringankan beban Syahira sekeluarga untuk menyambut kelahiran cahaya mata baharu.
Journal Malaysia mendoakan agar ALLAH SWT mempermudahkan urusan Syahira bersama suami dan anak-anak dan cahaya mata baharunya selamat dilahirkan.