By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Polis tidak menolak kemungkinan mayat reput yang ditemui di kawasan hutan simpan Kampung Chekar, Ulu Sat Kelantan Timur Machang, kelmarin dipercayai menjadi mangsa serangan binatang buas.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdullah Mohammad Piah berkata, ini kerana terdapat kesan tapak kaki harimau dan babi di kawasan penemuan mayat itu.
Malah katanya, pakaian pada mayat itu juga sudah carik dipercayai ditarik binatang buas.
Bagaimanapun katanya, polis belum dapat mengesahkan punca kematian serta jantina dan identiti mayat itu.
“Polis sudah menghantar mayat reput itu ke Hospital Machang untuk dibedah siasat pagi ini.
“Berdasarkan keadaan mayat itu, polis menganggarkan tempoh kematiannya sudah lima hari,” katanya kepada media selepas menerima 70 pek makanan untuk anggota bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Hamzah di sini, hari ini.
Pek makanan itu disumbangkan Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) bersama usahawan tempatan, Azhar Mustapha.
Semalam Journal Malaysia menyiarkan penemuan mayat reput berkenaan ditemui pada petang 2 Julai lalu oleh seorang lelaki berusia 50-an.
Menurut Abdullah, ketika lelaki itu dalam perjalanan pulang, dia terhidu bau busuk sebelum menemui cebisan mayat yang sudah reput dan berkecai.
Beliau berkata, setakat ini, polis tidak menerima laporan daripada mana-mana individu berhubung kehilangan ahli keluarga.
Katanya, sekiranya tidak ada keluarga melaporkan kehilangan itu, ujian DNA akan dilakukan pada mayat berkenaan bagi mengesahkan identitinya.
“Setakat ini polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut tetapi siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kita akan dapat sahkan punca kematian serta jantina dan identiti mayat itu sebaik selesainya proses bedah siasat oleh pakar Forensik, ” katanya.