KUALA LUMPUR | Kesihatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini stabil dan bertambah baik selepas dimasukkan ke hospital Rabu lalu, akibat jangkitan pada sistem penghadaman.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Perdana Menteri menjalani pemeriksaan kesihatan yang rapi dan tiada bukti menunjukkan masalah tumor lama beliau sebelum ini berulang.
Atas nasihat doktor, Perdana Menteri kini berada di hospital untuk terus mendapatkan rawatan antibiotik intravena.
“Keadaan beliau stabil dan bertambah baik serta dibenarkan bertugas semasa dalam rawatan.
“Beliau dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam beberapa hari lagi,” menurut kenyataan itu.
Rabu lalu, Perdana Menteri dimasukkan ke hospital di ibu negara bagi menerima rawatan dan pemantauan selepas mengalami diarea sejak Selasa.