PUTRAJAYA | Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat pembayaran penuh kepada kontraktor Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) seperti yang dinyatakan dalam kontrak.
KPM dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan berkata, tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja.
“Bagi perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB), KPM akan melanjutkan kontrak perkhidmatan kontraktor yang terlibat.
“Penyambungan itu dibuat dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Kenyataan itu berkata lagi, KPM juga memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha kantin serta penyewa premis atau ruang (kedai buku/koperasi/kedai dobi/vending machine) yang terjejas akibat penutupan sekolah.
Katanya, dalam hal ini, KPM telah membuat ketetapan untuk memberi pengecualian sewaan kantin dan premis/ruang tersebut bagi tempoh 6 bulan mulai Julai sehingga Disember.
“Selain daripada itu, KPM juga akan memberi penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis/ruang (kedai buku/koperasi/kedai dobi/ vending machine) di sekolah bawah KPM secara automatik untuk tempoh satu tahun apabila tamat tempoh kontrak asal.
“KPM yakin inisiatif ini dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi serta pekerja terlibat yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Kami sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.