KUALA LUMPUR | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri memaklumkan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawabnya telah mengagihkan lebih RM0.5 bilion ke seluruh Malaysia bermula Mac hingga Jun lalu.
Beliau berkata, agihan bantuan itu dalam bentuk wang tunai, dana perniagaan, latihan kemahiran, bank makanan, makanan sedia untuk di makan, wakaf kesihatan (katil di ICU, monitor di ICU, pam picagari, pam infusi, mesin BIPAP, ventilator di ICU, ventilator di rumah, katil dan peralatan perubatan lain).
Katanya, bantuan lain termasuk projek membaik pulih serta membina rumah, bantuan komputer riba dan sebagainya.
“Selain itu, inisiatif #bakulmakanan gerobok rezeki dan dapur it’am di masjid serta surau, yang mendapat sambutan dalam kalangan umat Islam, saya sedia maklum masih ramai yang perlukan bantuan terutamanya barang asas dapur.
“Justeru, saya dengan sukacita ingin mengumumkan Tele Bantuan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang baru dilancarkan semalam di seluruh Malaysia,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Beliau berkata, mereka yang memerlukan bantuan perlu berikan nama, nombor kad pengenalan, alamat dan nombor telefon ke www.wasap.my/60132920214/Bantuanyadim
“Kami sedia membantu di seluruh negara,” katanya.