KOTA BHARU | Parlimen Ketereh menjadikan masjid sebagai pusat pengedaran Bantuan Bekalan Keperluan (Kotak Cakna) bagi memudahkan golongan yang memerlukan.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, pusat pengedaran itu diwujudkan dengan kerjasama Imam serta ahli jawatankuasa (AJK) masjid di kawasan tersebut.
Katanya, sebanyak 40 buah masjid akan dijadikan pusat pengedaran.
“Kotak Cakna ini diberikan mengikut permohonan oleh yang memerlukan. Ia juga perlu diberi kepada ketua keluarga yang bermastautin di mukim berkenaan tanpa mengira siapa mereka, asal benar-benar dan memerlukan.
“Permohonan boleh dibuat mulai 7 Jun dan barang bantuan tersebut boleh diambil selewat-lewatnya 12 Jun,” katanya dalam satu kenyataan.
Annuar turut menggesa imam serta AJK masjid mempermudahkan urusan pemohon agar mereka segera mendapat bantuan.
Katanya, imam dan AJK juga di galakkan melakukan hantaran dari pintu ke pintu terutama kepada keluarga orang kurang upaya (OKU).
“Perlu di ingatkan, bantuan ini adalah untuk memudahkan rakyat. Ia tidak boleh di politikkan dan dalam tertentu serta atas dasar kemanusiaan, ia boleh di pertimbangkan oleh imam untuk diberikan kepada bukan warganegara atau musafir yang terdesak.
“Saya berharap dengan cara memberi amanah kepada semua imam dan ajk mesjid, rakyat tak perlu pergi jauh untuk mendapat bantuan bila perlu kerana boleh di urus dalam kampung masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, pusat khidmat akan mengedarkan senarai masjid dan imam serta nombor telefon.
Katanya, pusat khidmat dan sukarelawan terus dibuka setiap hari dan unit bergerak akan berkhidmat seperti biasa sepanjang masa.