KUALA LUMPUR | Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan seramai 72 warga asing pelbagai warganegara yang berumur diantara 25 hingga 50 tahun dalam satu serbuan di sebuah bangunan di Pudu, di sini.
Serbuan dilakukan pada 5 petang semalam turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu merupakan operasi penguatkuasaan dan pematuhan di bawah Op Patuh yang di lancarkan oleh Menteri Dalam Negeri.
Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, warga asing yang ditahan itu terdiri daripada 43 lelaki dan 29 orang wanita.
Katanya, pemeriksaan di lokasi operasi mendapati kawasan yang dihuni oleh majoriti warga asing ini bukan sahaja tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malahan ianya dalam keadaan yang sangat kotor dan tidak teratur.
“Selain itu, kemudahan awam seperti lif, lampu tangga dan koridor tidak berfungsi dengan sempurna serta kawasan dalam bangunan yang dipenuhi sampah dan berbau busuk.
“Hasil pemeriksaan di premis tersebut, pegawai operasi telah memeriksa seramai 245 orang individu dan berjaya menahan seramai 72 orang warga asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketika pemeriksaan dijalankan terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan menyorok di ruang-ruang dinding yang telah diubah suai.
Katanya, walau bagaimanapun, semua cubaan ini berjaya dikesan dan digagalkan oleh pegawai operasi.
“Pegawai operasi juga terpaksa memecahkan pintu kerana kebanyakan rumah yang diperiksa penghuninya tidak memberikan kerjasama dan menyorok di dalam rumah dengan mematikan lampu.
“Lokasi ini juga dipercayai menjadi sarang pelacuran yang melibatkan wanita warga asing dan pernah beberapa kali diserbu oleh JIM sebelum ini,” katanya.
Khairul Dzaimee berkata, antara kesalahan Imigresen yang dikenalpasti ialah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan Pas dan tinggal lebih masa.
Katanya, kesemua tahanan akan dibawa menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“JIM akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan bersama agensi yang lain di bawah Op Patuh yang di terajui oleh KDN.
Operasi penguatkuasaan yang dijalankan bukan sahaja untuk mengesan dan menangkap pendatang haram dan individu yang bersekongkol dengan mereka, malahan operasi-operasi ini bertujuan untuk mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.