KUALA LUMPUR | Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan bagi murid kelas peperiksaan bagi negeri yang beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga cuti pertengahan penggal yang akan bermula pada 16 Julai ini bagi negeri kumpulan A dan 17 Julai negeri kumpulan B.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi fasa dua PPN, sekolah sesi bagi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka boleh dibuka, tetapi terhad kepada kelas peperiksaan sahaja.
Katanya, MKN memberi kebenaran untuk merentas negeri dan daerah bagi guru serta murid kelas peperiksaan sekiranya ia dibuka.
“KPM ingin memaklumkan Takwim Persekolahan 2021 adalah kekal seperti yang diumumkan oleh
Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin menerusi sidang media pada 6 Jun lalu.
“Ini bermakna sesi PdP bagi negeri Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan terus secara PdPR sehingga cuti penggal yang akan bermula pada 16 Julai ini bagi negeri kumpulan A dan 17 Julai negeri kumpulan B.
“Pemakluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi persekolahan penggal berikutnya akan dibuat oleh KPM sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan tersebut bermula,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari.
Katanya, KPM komited untuk terus melakukan yang terbaik.