KUALA LUMPUR | Tanggapan penjawat awam tidak terjejas untuk diberikan penangguhan bayaran pinjaman perumahan adalah tidak tepat kerana mengambil kira sebagai pendapatan individu, bukannya isi rumah.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata ia berikutan hampir 50 peratus pasangan kepada penjawat awam yang tidak bekerja di sektor kerajaan turut terkesan dengan pandemik yang melanda negara ketika ini.
Berikutan itu, katanya, tidak salah jika CUEPACS membawa suara mereka yang terjejas apabila pasangan masing-masing tidak lagi boleh berniaga, dipotong gaji malah ada yang diberhentikan kerja.
Tambahan pula, menurutnya, kebanyakan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan juga melihat daripada kesan langsung kepada isi rumah dan bukannya individu semata-mata.
“Kebanyakan penjawat awam memohon pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dengan mengemukakan pendapatan bersama mereka dengan pasangan masing-masing bagi membolehkan pembiayaan diluluskan.
“Jika tidak, sudah tentu pembiayaan penjawat awam ini sukar mendapat kelulusan apatah lagi dengan harga kediaman yang mahal ketika ini.
“Sekiranya LPPSA membenarkan penangguhan bayaran pinjaman dilakukan, mereka yang terbabit akan mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan untuk merancang kembali kewangan serta membantu keluarga yang dalam kesusahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Adnan berkata, walaupun ada pihak yang tidak terjejas dari segi pendapatan, namun mereka turut dibenarkan membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta memohon moratorium berikutan tidak menetapkan syarat.
Katanya, kerajaan melaksanakan inisiatif itu kerana mendengar rintihan daripada golongan M40 dan T20 yang turut mengalami peningkatan tanggungan berikutan perlu membantu ahli keluarga atau saudara yang terjejas akibat Covid-19.
“Sebab itulah kerajaan tidak menetapkan apa-apa syarat dalam isu moratorium dan pengeluaran KWSP. Jadi, tiada salahnya untuk penjawat awam turut sama mendapat moratorium pinjaman LPPSA kerana secara isi rumahnya mereka turut terkesan.
“Kenyataan bekas menteri tersebut yang mendakwa tidak perlu dibantu kerana masih mempunyai pendapatan hasil daripada wang pencen juga menunjukkan beliau tidak memahami masalah sebenar rakyat biasa apabila sudah berjaya menikmati hasil daripada kerjaya politik.
“Walaupun hanya menerima pencen, jumlah wang di dalam akaun bank bekas menteri tersebut tidak boleh disamakan dengan rakyat biasa. Simpanan dalam bank beliau mungkin tidak perlu diusik seperti dialami oleh pesara kerajaan lain yang mungkin langsung tiada wang simpanan kerana masih mempunyai anak sedang belajar.
“Jika semua pesara kerajaan seperti bekas menteri tersebut, adalah wajar kerajaan tidak perlu lagi memberi apa-apa bantuan. Bagaimanapun, adakah semua nasib pesara kerajaan sama seperti bekas menteri tersebut?,” soalnya.
Tamat