KUALA LUMPUR | Peningkatan pesakit bagi kategori tiga hingga lima yang dirujuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Unit Rawatan Rapi (ICU) khususnya Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada keseluruhan kes COVID-19 yang dikendalikan HKL, sebanyak 71 peratus adalah pesakit COVID-19 kategori tiga hingga lima.
Katanya, manakala bakinya bagi kategori satu dan dua.
“Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL menerima antara 60 hingga 70 pesakit COVID-19 dalam tempoh sehari dengan purata tiga pesakit kategori empat dan lima memerlukan bantuan alat pernafasan.
“Bagi pesakit kategori lima, pesakit perlu dirawat di ICU,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, HKL adalah hospital rujukan berstatus Hibrid COVID-19 yang menerima pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19.
Menurutnya, jumlah pesakit yang dirujuk di HKL yang tinggi telah ditangani dengan penyediaan dan penggunaan katil tambahan oleh pengurusan HKL.
“Pesakit yang stabil dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras dan Institut Perubatan Respiratori bagi membolehkan HKL menerima dan merawat segera pesakit COVID-19 yang lain,” katanya.