KUALA KRAI | Percubaan sulung menjadi ‘tauke’ nanas membuahkan hasil apabila 10 ekar ladang nanas milik Wan Lokman Wan Haron, 33, ‘menjadi’.
Malah, alumni pertama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu berjaya menjana pendapatan sehingga lima angka semusim.
Menurut Wan Lokman, ladang nanas yang diusahakannya itu mampu menghasilkan tujuh tan nanas semusim dan dijual dengan harga borong di pasaran tempatan iaitu RM2.50 sekilogram (nanas Madu Kaca) manakala nanas varieti MD2 pula dijual pada harga RM4 sekilogram.
Kata pelajar lulusan dari Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli (FASA), terdapat dua varieti nanas di ladang nanasnya yang semakin popular di pasaran iaitu jenis Madu Kaca dan MD2.
“Nanas MD2 antara yang menjadi rebutan dan mendapat permintaan tinggi kerana rasanya yang manis, lebih berjus dan serat yang bagus untuk kesihatan. Madu Kaca juga tidak kurang hebatnya dengan rasa yang manis,” katanya.
Wan Lokman berkata, beliau mula mengusahakan tanaman nanas sejak 2018 selepas mendapat galakan dan sokongan dari keluarga.
Katanya, dengan berbekalkan modal RM 30,000 dia memulakan projek tanaman nanas tanpa memohon bantuan dari mana-mana agensi kerajaan.
“Saya mengusahakan kawasan tanaman secara berperingkat-peringkat dengan permulaan modal yang kecil dan memperolehi anak benih nanas yang dibeli di pasaran.
“Pengalaman belajar ketika menuntut di UMK banyak membantunya untuk menjadikan bidang pertanian sebagai perniagaan.
“Justeru, saya amat mementingkan hasil pengeluaran tanaman yang berkualiti bagi menjamin pelanggan atau pemborong sentiasa berpuas hati.
Beliau berkata, tanaman nanas juga tidak sunyi daripada masalah dan cabaran tetapi perlu cekal untuk bertahan dalam meneruskan perusahaan ini.
Katanya, penanam nanas harus berani untuk mengambil risiko dan bersabar dalam menunggu hasil selain perlu kreatif.
“Selain nanas, saya juga merancang untuk mempelbagaikan lagi hasil pertanian pada masa hadapan dengan mengusahakan kebun buah durian, sayur-sayuran dan beberapa lagi hasil tanaman yang lain.
“Saya menaruh harapan tinggi untuk menjadikan kawasan Kampung Chuchuh Puteri antara lokasi pengeluaran nanas premium di Kuala Krai sekiranya kawasan ini terus dimajukan dengan tanaman nanas secara komersial, selain kawasan ini terkenal dengan buah durian dan sebagainya,” katanya.