KOTA BHARU | Kuarters Ladang Lepan Kabu (A & B) dan sebahagian kawasan Kampung Pahi (kawasan bersempadan dengan Kuarters Ladang Lepan Kabu), Kuala Krai dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Selasa ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi terkini kes COVID-19 di Kuarters Ladang Lepan Kabu (A & B) dan sebahagian kawasan Kampung Pahi (kawasan bersempadan dengan Kuarters Ladang Lepan Kabu), Kuala Krai, Kelantan.
Menurutnya, hasil pemantauan KKM mendapati berlaku peningkatan kes dan setakat ini, seramai 80 individu telah disaring dan 18 daripadanya dilaporkan positif COVID-19 dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti terbabit.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuarters Ladang Lepan Kabu (A & B).
“(Dan) sebahagian kawasan Kampung Pahi (kawasan bersempadan dengan Kuarters Ladang Lepan Kabu), Kuala Krai, Kelantan berkuat kuasa 6 Julai sehingga 19 Julai 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pelaksanaan PKPD bertujuan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.
Di Kelantan hari ini sebanyak 124 kes baharu COVID-19 direkodkan dan kekal dengan 225 kematian.