By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Polis Kelantan masih mengekalkan 44 sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini walaupun Kelantan sekarang berada dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdullah Mohammad Piah berkata, kawalan dan penugasan anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah
seperti sebelum ini.
Malah katanya, aktiviti rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali orang ramai yang mendapat surat kebenaran daripada PDRM.
“Polis Kelantan memberi fokus kepada penugasan seperti sebelum ini ternasuk mengekalkan sekatan jalan raya bagi memastikan orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan.
“Kita adakan SJR seperti biasa dan masih kekalkan sekatan jalan di semua daerah termasuk di sempadan negeri” katanya pada sidang media selepas menerima sumbangan pek makanan untuk anggota barisan hadapan bertugas di SJR Jalan Hamzah di sini, hari ini.
Sebanyak 70 pek makanan disumbangkan Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) bersama usahawan tempatan Azhar Mustapha untuk menghargai penugasan barisan hadapan di SJR Jalan Hamzah di sini.
Menurut Abdullah, menerusi kemasukan Kelantan dalam fasa kedua PPN itu, antara aktiviti yang dibenarkan seperti operasi kedai makan sehingga jam 10 malam dan aktiviti riadah yang tidak bersentuhan fizikal.
Dalam pada itu, katanya, menerusi Op Patuh, sebanyak 23 kompaun iaitu di Kuala Krai, Pasir Puteh, Tumpat dan Gua Musang.
Katanya, sehingga semalam juga sebanyak 1,690 premis perniagaan, kilang dan tempat tinggal pekerja yang diperiksa dan sebanyak 223 kompaun dikeluarkan.
“Antara kesalahan dikesan membabitkan individu tidak memakai pelitup muka dan tidak daftar masuk.
“Selain itu kesalahan premis, kompaun dikeluarkan kerana tidak menyediakan buku rekod daftar keluar masuk, MySejahtera dan tiada cecair sanitasi tangan,” katanya.
Sehubungan itu beliau turut menasihatkan orang ramai supaya patuh kepada SOP yang ditetapkan walaupun Kelantan masuk ke fasa kedua PPN.