KUALA LUMPUR | Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mendoakan kesihatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar diberikan kesembuhan dan kembali bertugas memimpin negara.
Yang di-Pertua PUM, Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir turut mendoakan kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan seluruh rakyat Malaysia daripada wabak Covid-19.
” Kita perlu bersama dalam menangani Covid-19 ini dan terus berwaspada dengan perkembangan semasa. Ini terutamanya apabila World Health Organization (WHO) menyatakan terdapatnya varian baru covid-19 yang cepat tersebar.
“Marilah sama-sama kita menadah tangan bermunajat dan berdoa bagi memohon diberikan kesihatan dan kesejahteraan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Journal Malaysia melaporkan kesihatan Muhyiddin kini stabil dan bertambah baik selepas dimasukkan ke hospital Rabu lalu, akibat jangkitan pada sistem penghadaman.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Perdana Menteri menjalani pemeriksaan kesihatan yang rapi dan tiada bukti menunjukkan masalah tumor lama beliau sebelum ini berulang.