By Ismail Muhamad
TUMPAT | Rakyat Kelantan jangan terlalu selesa dengan kemasukan negeri ini dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, peralihan daripada fasa satu kepada dua PPN bukan tiket untuk rakyat mengabaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan.
“Dalam konteks ini, kita jangan leka dan mudah selesa dengan peralihan fasa kedua ini kerana pengabaian SOP akan menyebabkan peningkatan kes harian Covid 19 di negeri ini.
“Saya ingin menasihatkan rakyat supaya kita sama-sama patuhi SOP bagi memastikan kes harian Covid 19 terus menurun ke tahap paling rendah supaya kita dapat melangkah ke fasa ketiga PPN, ” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan ziarah dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada seorang balu dua anak, Iqromah Anuar, 50, yang rumahnya dipecah masuk pencuri di Kampung Kutan Tengah di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdullah Mohammad Piah.
Menurut Ahmad, kerajaan akan meningkatkan pemberian vaksin kepada rakya negeri ini bagi memastikan pencapaian imuniti kelompok yang disasarkan kerajaan.
Malah katanya, seramai 2,000 penduduk di kawasan Kampung Kutan yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera akan terbabit dalam pemberian vaksin menerusi program Outreach.
“Setiap rakyat perlu mendaftar suntikan vaksin dan program Outreach adalah salah satu usaha kerajaan bersama pihak berkuasa untuk mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok yang disasarkan kerajaan.
“Apa yang penting setiap daripada rakyat kena jaga SOP dan dapatkan suntikan vaksin apabila temu janji ditetapkan kepada mereka, ” katanya.