KUALA LUMPUR | Malaysia akan menerima satu juta dos vaksin Pfizer-BioNTech secara percuma sumbangan Amerika Syarikat.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, bekalan vaksin Pfizer itu akan tiba di negara ini esok.
“Terima kasih kepada rakan sejawat saya, Antony Blinken dan Kerajaan Amerika Syarikat atas sumbangan vaksin ini serta pelbagai lagi bentuk bantuan kepada Malaysia sejak pandemik #COVID19 melanda tahun lalu.
“Saya dan Antony Blinken akan terus berkongsi komitmen demi memastikan hubungan erat Malaysia dan Amerika Syarikat terus diperkukuh demi manfaat bersama khususnya di era pasca pandemik,” katanya dalam kenyataan facebooknya.
Terdahulu, Malaysia turut menerima sumbangan vaksin sejuta dos vaksin AstraZeneca daripada Jepun.
Pada Khamis, bekalan vaksin AstraZeneca yang diterima dihasilkan oleh syarikat Daiichi Sankyo Biotech di Saitama, Jepun dan diluluskan oleh Pharmaceuticals and Medical Devices Agency (PMDA) iaitu agensi di bawah Kementerian Kesihatan Jepun.
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan berasingan memaklumkan, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan melakukan penilaian untuk mendapatkan kelulusan Lot Release bagi penggunaan vaksin tersebut.
Selain Malaysia, Jepun turut menyumbangkan bekalan vaksin sama kepada Vietnam dan beberapa negara Asia Tenggara lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina serta beberapa negara Asia Barat.