KUALA LUMPUR | Polis membuka kertas siasatan tatatertib terhadap anggotanya yang terbabit dalam video tular meminta wang sogokan daripada seorang pemilik kenderaan di bandar Sultan Suleiman.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata polis menyeru supaya pemilik akaun atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut supaya menghubungi pihha polis Klang Utara untuk membantu siasatan.
“Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara mendapati pemilik akaun Twitter @fahmynazrul menghantar satu video yang memaparkan satu kejadian membabitkan anggota polis.
“Dalam video itu, anggota polis disyaki meminta wang sogokan daripada pemilik kereta dipercayai berlaku di sekitar Bandar Sultan Suleiman.
“Polis sudah mengenalpasti anggota polis yang terbabit dalam insiden berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam video berdurasi satu minit dua saat yang disaksikan 341,000 penonton memaparkan seorang lelaki menaiki pacuan empat roda ditahan dua anggota polis, namun kesalahan tidak dapat dipastikan.
Walaupun perbuatan anggota polis terbabit dikatakan mahu mendapatkan ‘duit air’ tidak dipaparkan dalam video berkenaan, namun dapat didengarkan percakapan penguatkuasa berkenaan meminta lelaki meminjam RM50 daripada rakannya.
Tamat