KUALA LUMPUR | Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi lain melakukan pemeriksaan terhadap 202,591 premis menerusi Operasi Patuh (Op Patuh) sejak 25 Jun hingga semalam.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam operasi itu, sebanyak 25,651 kilang dan 169,629 premis perniagaan diperiksa.
Katanya, pemeriksaan juga dilakukan ke atas 6,258 tapak pembinaan dan 1,053 asrama pekerja.
“PDRM bersama agensi lain mengeluarkan kompaun terhadap 1,919 premis yang didapati melakukan kesalahan tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Sebanyak 250 premis yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut diarahkan tutup,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, seramai 23,855 pegawai dan anggota PDRM bersama agensi lain membabitkan 5,366 pasukan pemeriksaan ditugaskan dalam Op Patuh di seluruh negara.