KUALA LUMPUR | Dua daripada tiga lelaki yang meloloskan diri dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Kampung Pasir, Kampung Pasir, di sini sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya menerima laporan polis berkaitan tindakan tiga lelaki terbabit pada 4.51 petang semalam.
Katanya, individu pertama yang dikenal pasti berusia 34 tahun dan semakan mendapati dia memiliki enam rekod kesalahan dadah dan jenayah lain seperti samun, curi dan lain-lain.
“Suspek kedua pula berusia 46 tahun dan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau kes pecah rumah dan dadah.
“Hasil siasatan dua lelaki terbabit warga tempatan manakala seorang lagi tidak dapat dipastikan melarikan diri menerusi pagar berduri jenis dawai besi yang diletakkan di sekeliling blok berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.
Anuar berkata, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati dawai besi yang ditempatkan di kawasan tersebut rosak.
Anuar berkata, orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular itu dan hendaklah mematuhi semua peraturan ditetapkan kerajaan.
“Usaha mengesan individu terbabit sedang giat dijalankan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.