PETRA JAYA | “Tidak kira orang sini atau luar, kami tetap bantu dan tidak ada alasan untuk tidak hulurkan bantuan,” kata Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata demikian ketika menjawab satu siaran di Twitter yang mendakwa pihaknya mengabaikan rakyat di parlimen sendiri.
Katanya, sebaik sahaja mengetahui berkenaan dengan posting tersebut, pegawai pusat khidmat P.194 Petra Jaya telah segera turun padang untuk menyiasat lanjut dakwaan berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati 15 keluarga tinggal secara haram di bangunan kedai dua tingkat di Batu 9, Jalan Matang. Kesemua penghuni berkenaan juga disahkan sebagai orang luar, bukannya penduduk asal Parlimen Petra Jaya seperti didakwa.
“Salah seorang daripadanya berasal dari Sabah dengan isterinya warga Indonesia, dikenal pasti sebagai pendatang tanpa izin,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, individu dari Sabah berusia 33 tahun itu bekerja sebagai buruh kasar, manakala isterinya berasal dari Bandung, Indonesia.
Katanya, seramai 14 lagi keluarga yang tinggal di situ, lima berasal dari Lubok Antu; tiga dari Lundu; tiga dari Sri Aman; masing-masing seorang dari Kapit, Betong dan Bintawa Ulu.
“Kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh kasar, selain ada yang bekerja di kedai makan, kedai kopi, wireman dan juga ada yang menganggur.
“Untuk makluman, Gabungan Parti Sarawak (GPS) khususnya Pusat Khidmat P.194 Petra Jaya juga sudah beberapa kali menghantar bantuan makanan asas termasuk beras, gula, mi segera, bihun, telur, cordial dan tepung untuk kesemua penghuni yang tinggal di bangunan terbiar itu, atas dasar perikemanusiaan,” katanya.
Justeru itu katanya, bagi mana-mana pihak membuat tuduhan palsu dengan mendakwa penghuni terbabit adalah penduduk asal Petra Jaya yang dibiarkan tanpa dibantu, adalah amat keterlaluan, fitnah dan tidak bertanggungjawab.
Katanya, sebagai Ahli Parlimen kawasan Petra Jaya, tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pihaknya sentiasa berusaha sehabis baik untuk memenuhi keperluan dan kesejahteraan penduduk.
“Biarpun ramai juga penduduk di Petra Jaya bukan warga asal kawasan itu serta bukan pengundi, namun saya tidak melihat perkara itu sebagai alasan untuk kita tidak membantu mereka yang memerlukan bantuan.
“Jika ada pun perkara yang mungkin kami terlepas pandang, namun setelah mendapat tahu mengenainya, kami sedaya upaya cuba menanganinya sebaik mungkin.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menyalurkan maklumat termasuk dari pihak pembangkang. Saya ingin mengajak semua pihak bersama-sama membantu mereka yang memerlukan bantuan dan tidak menjadikan sesuatu isu itu sebagai senjata politik untuk kepentingan diri,” katanya.
Terdahulu tular di Twitter oleh pemegang akaun twitter @apanakdikato yang berbunyi;
“Nama je Menteri Kerja Raya, tapi rakyat di parlimen sendiri tinggal di kawasan terbiar…Ingatkan ada 1 keluarga je, rupanya ada 6 keluarga duk di situ” yang dimuatnaik di twitter pada jam 1.29 pagi kelmarin (3 Julai 2021).