KUALA LUMPUR | Seramai 16,946,192 orang sudah berdaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) setakat hari ini.
Memetik Harian Metro, Menteri Penyelaras Pick, Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, seramai 5.4 juta adalah pendaftaran bagi Fasa 2 dan 11.5 juta pula adalah bagi Fasa 3.
Menurutnya, jumlah warga emas yang sudah berdaftar pula mencecah sebanyak 2.89 juta.
“Bilangan yang sudah divaksinasi dengan sekurang-kurangnya satu dos vaksin, secara keseluruhan untuk fasa dua adalah seramai 4,197,943 orang.
“Warga emas adalah seramai 2,301,657 atau 79.2 peratus daripada jumlah pendaftaran terkini, 66 peratus daripada jumlah populasi warga emas di Malaysia.
“Orang Kurang Upaya (OKU) membabitkan seramai 127,775 dan mereka yang mempunyai komorbiditi (menghidap dua atau lebih penyakit serentak) seramai 3,853,554,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan secara hibrid mengenai perkembangan Pick yang turut disertai Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, hari ini.
Menurutnya, lebihan kira-kira 20.8 peratus daripada jumlah warga emas yang berdaftar kebanyakannya sudah diberikan janji temu dan dijangka menerima suntikan dos pertama mereka pada bulan ini.
Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Perlis sudah memulakan pelaksanaan fasa ketiga pada minggu lalu.