TUMPAT | Hanya mengharapkan upah menjahit manik yang tidak menentu, seorang ibu tunggal mengakui tidak mampu menyediakan peralatan lengkap untuk dua anaknya mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Bagi Norhayati Jaafar, 37, pendapatan yang diperolehinya itu hanya cukup menampung perbelanjaan harian dan sewa rumah RM120 sebulan, apatah lagi untuk menyediakan gajet atau telefon pintar untuk anaknya Haikal Aiman Faris Abdullah, 9 dan Muhammad Haris Adam Izrail, 11.
Katanya, dia sedikit lega apabila anak sulungnya, Hazwan Dannis, 14 tinggal di pondok tahfiz di Kebakat yang tidak memerlukan PdPR..
“Sebelum ini saya membuat kuih namun sudah berhenti sejak Ramadan lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kini saya hanya mengambil upah sekitar RM50 menjahit manik, namun itupun bukan selalu.
“Kadangkala tidak cukup untuk makan kami empat beranak sebaliknya mengharapkan belas ihsan jiran dan saudara.
“Biasanya dua anak saya akan bergilir-gilir menggunakan telefon saya sendiri menyebabkan mereka banyak terlepas kelas. Tambahan pula, kadang-kala saya tidak mampu untuk melanggan pakej internet,” katanya ketika ditemui di sini.
Norhayati berkata rumah tangganya bergantung tidak bertali apabila suami menghilangkan diri sejak tiga tahun lalu menyebabkan dia terpaksa mencari pendapatan seorang diri.
Keadaan sama juga menimpa Nik Adilah Ghazali, 31, apabila tiga anaknya berusia 7 hingga 11 tahun yang terpaksa berkongsi gajet sama ada miliknya, atau suami, Azhar Muhammad, 37.
“Suami mengambil upah mengupas kelapa setiap tiga hari seminggu. Hanya RM300 saja pendapatan sebulan suami, itupun mujur ada kakak ipar yang sudi bantu membayar sewa rumah bernilai RM120 sebulan.
“Kami juga tidak mampu menyediakan telefon bimbit termasuk melanggan pakej internet setiap hari untuk anak menyertai PdPR menyebabkan mereka juga banyak ketinggalan kelas,” katanya.
Bagaimanapun, keperluan anak untuk dua keluarga terbabit akhirnya dipenuhi badan bukan kerajaan (NGO) Group Gatih Amal (GGA) yang menyampaikan sumbangan gajet kepada mereka.
Pengerusi GGA, Abd Halim Shafai berkata, sebanyak 25 gajet disediakan hasil sumbangan ahlinya, orang perseorangan termasuk Syarikat MZ Gold untuk diberikan kepada murid dan pelajar dalam kalangan asnaf bagi melancarkan sesi PdPR.
“Kita juga akan membuka tabung baru bagi membantu membayar bil elektrik dan kredit telco untuk membantu anak-anak menghadiri PdPR berikutan ramai keluarga terkesan susulan PKP ini termasuk diberhentikan pekerjaan,” katanya.
Tamat