KUALA LUMPUR | Penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Lumpur dibenarkan keluar untuk vaksinasi kecuali mereka yang memakai gelang merah jambu.
Ketua Polis Daerah Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, individu yang sedang menunggu keputusan ujian saringan juga tidak dibenarkan keluar.
Katanya, polis menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat tepat daripada pegawai bertugas di PKPD.
“Polis menekankan prosedur operasi standard (SOP) khusus PKPD di Kuala Lumpur yang membenarkan penduduk keluar ke kawasan berkaitan atas sebab membabitkan sektor keselamatan, kecemasan dan kebajikan.
“Penduduk yang mempunyai temu janji vaksinasi dibenarkan keluar ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kecuali yang memakai gelang merah jambu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.