TUMPAT | Tindakan dua penyeludup melarikan diri daripada ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor tidak berhasil apabila berjaya ditahan selepas dikejar di sepanjang Sungai Golok, tengah malam tadi.
Menurut Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, kejadian itu berlaku pada 12.30 tengah malam tadi selepas mendapat maklumat mengenai penyeludupan daun ketum.
Katanya, sebaik menerima maklumat, seorang pegawai bersama empat anggota menjalankan tugas Op. Benteng Covid-19 dengan menggunakan Botronda PAC 7.
“Pasukan kami bergerak masuk ke Sungai Mentua, di sini dan apabila sampai di kedudukan Jambatan Kampung Mentua terdapat kesan buih-buih yang disyaki adalah kesan daripada pergerakan bot.
“Pengawai bersama anggota pasukan operasi bergerak masuk menggunakan Botronda PAC 7 dan menjejaki kesan buih tersebut.
“Dalam jarak 500 meter, pasukan operasi telah mengesan sebuah bot enjin galah yang disembunyikan di dalam semak,” katanya dalam satu kenyataan.
Rudzuan berkata, pihaknya melakukan pemerhatian terhadap bot tersebut dan kelihatan dua orang lelaki berada di dalam bot.
Katanya, sebaik memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sambil merapati bot tersebut, kedua penyeludup bertindak melarikan diri.
“Pasukan operasi telah bertindak dengan mengejar dan cuba merapat bot tersebut tetapi pemandu bot enjin galah memandu dengan cara yang merbahaya tanpa mengendahkan arahan untuk berhenti.
“Secara tiba-tiba pemandu bot tersebut telah bertindak menghimpit dan melanggar bot yang dinaiki pasukan operasi.
“Namun setelah beberapa ketika mengejar, bot injin galah tersebut berjaya ditahan. Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua lelaki tersebut gagal menunjukan dokumen pengenalan diri dan masuk ke Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan,” katanya.
Beliau berkata, dua lelaki warga Thailand berusia 20 hingga 30 tahun ditahan di bawa ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.
Katanya, selepas itu, pasukan operasi melakukan pemeriksaan lanjut di kawasan tersebut dan menjumpai barangan terlarang yang dipercayai cuba untuk diseludup keluar ke negara jiran, Thailand.
“Antara yang dirampas adalah sebuah bot enjin galah, 11 bungkus plastik warna biru mengandungi dedaun hijau disyaki ketum anggaran berat 110 kilogram, 10 tong jerikin warna putih mengandungi cecair hitam dipercayai ubat batuk (kodein) anggaran isipadu 200 liter dan dua unit telefon bimbit jenama Vivo dan Tecno serial.
“Anggaran nilai rampasan berjumlah RM62,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 : Daun ketum; Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 : Dadah (kodein); Seksyen 15(1) ADB 1952 (2 Kes) : ujian saringan air kencing positif dadah.
“Kedua suspek juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Tidak memiliki dokumen pengenalan / perjalanan yg sah; Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 : Keluar / masuk Malaysia melalui pintu yg tidak diwartakan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan : Menghalang pejawat awam menjalankan tugas,” katanya.