PUTRAJAYA | Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) meneruskan Program Pemberian Vaksin bagi sektor pengangkutan dengan membuka Pusat Pemberian Vaksinasi Industri (PPVIN) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), khas untuk Sektor Pengangkutan Udara.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini.
Katanya, melalui program ini, pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah bekerjasama dengan beberapa syarikat industri penerbangan seperti Malaysia Airlines Berhad, Malindo, syarikat pengendalian darat AeroDarat, syarikat-syarikat penerbangan asing yang diwakili oleh Airline Operators Committee (AOC) dan pekerja kargo yang diselaraskan oleh Airfreight Forwarders Association of Malaysia (AFAM).
“Program vaksinasi ini dilaksanakan bermula 5 Julai hingga 24 September ini di Anjung Tinjau, Terminal 1, KLIA dari jam 8 pagi sehingga 6 petang pada hari Isnin hingga Jumaat.
“PPVINKLIA ini dibuka bertujuan mempermudahkan dan mempercepatkan program vaksinasi seramai lebih kurang 22,243 pekerja sektor penerbangan serta yang berkaitan di KLIA,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bagi sektor pengangkutan darat yang melibatkan pengangkutan awam darat, beberapa PPV turut akan dibuka di beberapa lokasi di seluruh negara bagi memastikan 19,259 petugas rel dan pemandu bas dapat diberikan vaksinasi dalam masa terdekat.
“Di samping itu, MOT bersama pihak Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang menyelaraskan program vaksinasi kepada pemandu teksi, e-hailing, pemandu bas dan petugas penghantar barangan (p-hailing) dengan jumlah keseluruhan dianggarkan 355,064 orang di seluruh negara.
“Program ini akan dilaksanakan di bawah PPV Awam dan Kerajaan akan menanggung keseluruhan kos tersebut.
Menurutnya, MOT komited dan akan terus bekerjasama dengan CITF untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), terutama dalam memastikan para petugas industri pengangkutan menerima vaksin secepat mungkin.