KUALA LUMPUR | Sebuah negeri lagi bakal memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) selepas memenuhi tiga nilai ambang yang ditetapkan kerajaan.
Memetik Berita Harian, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pengumuman mengenai negeri itu hanya akan diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Menurutnya, Perlis, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu antara negeri pertama yang memasuki fasa kedua PPN bermula hari ini.
Katanya, sebaik negeri memasuki fasa kedua PPN beberapa kelonggaran akan diberikan dalam aktiviti harian.
“Ada sebuah lagi negeri akan memasuki fasa kedua PPN selepas ia memenuhi syarat nilai ambang ditetapkan,” katanya dalam sidang media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) secara maya, hari ini.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.