KUALA LUMPUR | Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyokong penuh tindakan tegas kerajaan negeri Pahang melakukan penguatkuasaan terhadap mana-mana individu yang telah menceroboh tanah Hutan Simpan Kekal (HSK) di Pahang.
Setiausaha Agung UMMAH, Khalil Idham Lim berkata, pihaknya berharap isu pencerbohohan tanah haram di Pahang dapat diselesaikan dengan kadar segera khususnya bagi daerah Raub yang telah berlarutan sekian lama.
Katanya, sebagai mana kenyataan rasmi dari UMMAH Raub, pihaknya juga berharap agar kerajaan negeri Pahang akan terus konsisten di atas ketegasan itu.
“Kita harap kerajaan negeri Pahang dan tidak berganjak ke belakang walau setapak atas segala tekanan dan provokasi melampau pihak berkaitan.
“Tindakan yang diambil itu, kami yakin mengikut lunas undang-undang yang sedia ada.
“UMMAH yakin negara kita adalah sebuah negara yang lengkap dengan pelbagai undang-undang dalam pelbagai sudut pelanggaran undang-undang sehingga ianya boleh mendorong kepada tindakan yang segera kepada penyelesaian apa sahaja permasalahan rakyat termasuk lah mengenai pencerobohan tanah di Raub,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, berikutan beberapa rakaman video dan gambar yang memaparkan provokasi melampau oleh pengusaha kebun haram terhadap Pasukan penguatkuasaan HSK di Batu Talam dengan keluasan yang dianggarkan sekitar 250 ekar tular di media sosial.
Katanya, penguatkuasaan dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bersama agensi kerajaan termasuk Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan operasi tertumpu kepada tindakan memusnahkan tanaman durian secara haram dan menyita barangan termasuk kenderaan serta membuat tangkapan terhadap mana-mana individu yang telah menceroboh tanah di HSK.