By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan menyalurkan sebanyak 100 bakul makanan kepada penduduk yang daif dan kurang berkemampuan di beberapa kampung di kawasan Dewan Beta, Salor di sini.
Agihan barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung gandum, biskut dan makanan lain itu disampaikan oleh Setiausaha Kehormat Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Adnan Mohd Zin.
Menurut Adnan, bantuan bakul makanan itu diagihkan kepada golongan yang terkesan pandemik, Covid 19 selain penduduk daif, warga emas yang uzur dan Orang Kelainan Upaya ((OKU).
Katanya, pihaknya mengenal pasti golongan sasar di beberapa kampung antaranya Keladang, Kampung Langgut dan sekitarnya bagi menerima sumbangan barangan keperluan harian.
“Program yang kita laksanakan ini adalah secara berterusan bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Dalam keadaan berdepan pandemik Covid 19, ada di kalangan penduduk yang terkesan, lebih-lebih lagi dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada penduduk terbabit di Kampung Langgut, Dewan Beta, di sini, semalam.
Sementara itu, seorang penerima bantuan dari Kampung Keladang, Sepiah Yaakob,66, berterima kasih atas sumbangan berkenaan kepada dirinya sekeluarga.
Katanya, bantuan barangan makanan itu dapat menjimatkan belanja dapur memandangkan pendapatannya sekarang tidak menentu sejak PKP ini hasil daripada menjual jagung.
“Sejak PKP saya hanya jual jagung kat rumah, itu pun hanya penduduk kampung yang datang beli.
“Sebelum PKP, saya jual jagung kat tempat majlis ceramah di luar kampung, dapatlah rezeki lebih sikit,” katanya yang tinggal bersama suami serta dua anak.
Bagi warga emas, Mariam Ahmad, 78, berkata, sumbangan ini cukup bermakna buat dirinya terutama dalam keadaan PKP sekarang ini.
“Makcik tak larat lagi kerja kerana uzur, harap pada anak yang tanggung keperluan harian.
“Terima kasih lah bagi barang makanan untuk kami sekeluarga, ” katanya yang sudah kematian suami dan mempunyai sembilan anak, tiga daripadanya masih tinggal bersamanya.