PASIR PUTEH | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan menahan lima nelayan Vietnam pada jarak 42.7 batu nautika dari muara Tok Bali di sini, kelmarin.
Mereka ditahan pada jam 6.10 petang ketika sedang menangkap gamat di perairan Kelantan.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, dalam operasi Op Naga Barat dan Op Damai
itu turut merampas 200 kilogram (kg) gamat, diesel lebih 2,000 liter dan sebuah bot dengan nilai keseluruhan RM300,000.
Katanya, sebelum serbuan, bot ronda Maritim Malaysia mengesan bot berkenaan sekitar jam 5.55 petang yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Menyedari dirapati bot Maritim Malaysia, bot yang dinaiki lima nelayan Vietnam berusia antara 25 hingga 38 tahun cuba melarikan diri dengan bertindak melepaskan tali ke air untuk mengelak daripada ditahan.
“Bot penguatkuasa mengejar dan memintas bot itu sebelum ditahan. Pemeriksaan mendapati, nelayan itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran yang sah,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Jeti Maritim di Tok Bali di sini, hari ini.
Beliau berkata, bot dan kesemua nelayan itu ditahan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap hasil laut atau cuba menangkap hasil laut tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia.
“Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta untuk tekong, manakala RM600,000 kepada setiap kru.
“Sehingga kelmarin pihaknya merampas 17 bot nelayan termasuk empat bot nelayan tempatan serta hasil tangkapan iaitu ikan, gamat, rokok dan diesel dengan nilai keseluruhan RM13 juta,” katanya.
Katanya, sebarang maklumat boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Kelantan di talian 09-7780070.