PUTRAJAYA | Sehingga 1 Julai, seramai 248,083 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah mendaftar menyertai Pelan Rekalibrasi PATI selepas ianya diperkenalkan.
Menurut Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, daripada jumlah itu, seramai 97,892 PATI berdaftar untuk pulang ke negara asal Program Rekalibrasi Pulang.
Katanya, seramai 149,889 PATI memilih untuk mendaftar bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Jun lalu telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI bagi menyokong pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) iaitu sehingga 31 Disember atau sehingga PICK tamat.
“Selain itu, kerajaan juga telah bersetuju untuk memperluas pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI ke Sabah dan Sarawak tertakluk kepada persetujuan Kerajaan-Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan sekiranya PATI dan majikan berhasrat menyertai pelan itu.
“Mereka boleh berurusan secara terus dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja yang berkaitan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.imi.gov.my,” katanya.