KUALA LUMPUR | Lebih 33 peratus rakyat kumpulan B40 baru dikesan hidap penyakit tidak berjangkit hasil saringan kesihatan Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (Peka B40).
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah itu adalah seramai 151,729 individu daripada 457,462 penerima Peka B40.
Katanya, mereka yang menjalani ujian saringan menerusi skim itu sekurang-kurangnya mempunyai satu penyakit tidak berjangkit.
“Data yang membimbangkan ini adalah berdasarkan laporan Peka B40 2019-2020 yang dilancarkan hari ini.
“Jumlah ini melibatkan golongan B40 yang sebelum ini tidak pernah mengetahui mempunyai penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis (10.4 peratus); kolesterol tinggi (29.8 peratus); darah tinggi (13.8 peratus); masalah mental seperti kemurungan (1.6 peratus) dan keresahan (1.4 peratus,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, Skim Peka B40 diuruskan oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) iaitu anak syarikat tidak berasaskan keuntungan milik penuh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ianya memberikan empat manfaat iaitu saringan kesihatan, bantuan alat perubatan sehingga RM20,000, insentif melengkapkan rawatan kanser sehingga berjumlah RM1,000 dan insentif tambang pengangkutan sehingga RM1,000,” katanya.