KUALA LUMPUR | Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan penghargaan kepada Amerika Syarikat atas sumbangan sejuta dos vaksin Pfizer.
Menjunjung titah Baginda Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ketibaan vaksin tersebut dapat meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya, bekalan vaksin berkenaan tiba di Lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang menerusi penerbangan Raya Airways pada jam 8.10 pagi kelmarin, sehari selepas sambutan ulang tahun ke-245 kemerdekaan Amerika Syarikat.
Menurutnya, sumbangan ini merupakan sebahagian daripada 80 juta dos yang telah dijanjikan oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden kepada negara-negara maju dan membangun.
“Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Sains, Tenologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba atas pelaksanaan kerjasama di antara Kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin ini.
“Baginda turut menyampaikan ucapan terima kasih Baginda kepada Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian McFeeters, atas sumbangan ini,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.
Katanya, semoga sumbangan bekalan vaksin ini membantu negara memerangi pandemik COVID-19 dan memperhebatkan lagi PICK.
“Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.