KUALA KRAI | Empat lot termasuk tiga lot kedai musnah dalam kebakaran di hadapan Balai Polis Pekan Laloh di sini, semalam.
Kebakaran itu membabitkan bengkel kereta, aksesori kenderaan dan satu lot kediaman.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.15 petang dan seramai 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi pemadaman kebakaran melibatkan empat lot bangunan iaitu tiga lot kedai dan sebuah rumah separuh kekal.
“Operasi memadam api mengambil masa dua jam sehingga berjaya dikawal dan hampir tiga jam bagi pemadaman sepenuhnya.
“Kemusnahan melibatkan hampir 60 hingga 70 peratus bangunan dan dua buah motosikal serta peralatan di dalam kedai.
“Jumlah kerugian dan punca masih dalam siasatan,” katanya menerusi kenyataan di sini.