KUALA LUMPUR | PAS berharap sidang parlimen yang akan berlangsung 26 Julai nanti akan memfokuskan kebajikan rakyat dan pulihkan negara daripada Covid-19.
Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata, PAS menyambut baik sidang Dewan Rakyat yang bakal diadakan pada hujung bulan Julai ini dan Dewan Negara pada awal bulan Ogos.
“Kami berharap sesi penerangan dan perbahasan yang diadakan nanti benar-benar menatijahkan sesuatu yang menguntungkan rakyat dan negara.
“Semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Negara mesti bersidang secara matang dengan meletakkan keutamaan memulihkan negara daripada wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Idris berkata, wakil-wakil daripada PAS hendaklah bersedia dengan menunjukkan akhlak yang baik serta perbahasan yang berkualiti.
“Diseru agar semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Negara mematuhi prosedur operasi standard sepanjang mesyuarat berlangsung.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam menyatakan bahawa sidang Dewan Rakyat akan berlansung selama lima hari bermula 26 Julai manakala Dewan Negara akan bermula 3 Ogos.