PUTRAJAYA | Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memaklumkan bahawa pemain industri sektor logistik dan pengangkutan boleh menggunakan surat kebenaran beroperasi (Sistem SMILE) bertarikh 1 Jun dan ke atas bagi pemeriksaan di Sekatan Jalan Raya (SJR).
MOT dalam satu kenyataan media malam tadi berkata, perkara itu ditetapkan susulan pengumuman Pelan Pemulihan Negara dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur.
Katanya, walau bagaimanapun, surat terbaru dengan pindaan mengambil kira peralihan fasa PKP ke PPN sedia dimuat turun pada semalam.
“Pemain industri digalakkan memuat turun surat tersebut dari sistem SMILE melalui laman sesawang https://application.mot.gov.my,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, bagi aktiviti loading/unloading barangan non-essential, ianya hanya dibenarkan di kawasan luar PKPD sahaja (seluruh negara).
“Bagi kawasan dalam PKPD, ianya terhad kepada syarikat pergudangan kerana syarikat ini merupakan perkhidmatan rantaian kepada pelabuhan dan lapangan terbang.
“Bagi sektor selain pergudangan, aktiviti loading/unloading hanya terhad kepada syarikat yang tersenarai sebagai essential PKPD sahaja,” katanya.
Kenyataan itu mengulas lagi, sektor pergudangan tidak tertakluk kepada had operasi barangan essential sahaja kerana ianya menyediakan perkhidmatan penyimpanan dan pemunggahan barangan siap kepada pelabuhan.
Katanya, aktiviti sektor pergudangan ini tidak melibatkan sebarang akktiviti pembuatan.
“Sehubungan itu, sektor pergudangan boleh terus beroperasi tanpa kekangan kepada jenis barangan,” katanya.