KUALA LUMPUR | Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyokong penuh tindakan yang diambil oleh Pejabat Perhutanan Pahang ke atas penceroboh tanah kerajaan yang berlaku di Tras, Raub.
Pengerusi PEMBELA Aminuddin Yahaya berkata, kes pencerobohan ini sudah menjadi begitu berleluasa dan melibatkan ribuan ekar sebagaimana yang berlaku di Kampung Sungai Chalit dan tempat-tempat lain di Pahang.
Katanya, sikap penceroboh yang tidak mempedulikan undang-undang dan peraturan harus disekat dengan sesegera mungkin melalui tindakan perundangan.
“PEMBELA juga terkilan kerana ada wakil rakyat daripada DAP yang menyokong pencerobohan ini dan bersungguh-sungguh mempertahankan penceroboh. Seorang wakil rakyat yang sepatutnya mempertahankan undang-undang bukan menyokong pencerobohan.
“PEMBELA juga menyelar sikap sebuah NGO, Save Musang King Alliance (SAMKA), yang bertindak mempertahankan para penceroboh adalah suatu tindakan yang amat tidak wajar.
“Tambahan pula, mereka telah membuat dakwaan salah dengan mengatakan mereka dilindungi dengan arahan mahkamah walhal kes mahkamah itu merujuk kepada pencerobohan di Kampung Sungai Chalit, bukannya di Tras,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pencerobohan itu mengakibatkan kerajaan rugi juataan ringgit hasil cukai tanah yang tidak dibayar selain kerosakan tanah kerajaan.
“Kami menuntut agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah untuk dibawa ke muka pengadilan. Pihak kerajaan negeri juga diminta menuntut semua ganti rugi yang sepatutnya dibayar oleh penceroboh.
“Pihak Polis perlu mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap penceroboh mengikut undang-undang berdasarkan peruntukan Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965 dan Seksyen 47, Akta Perhutanan Negara 1984.
“Kerajaan Negeri perlu bertindak tegas dengan mengambil semula semua tanah-tanah yang telah diceroboh bukan saja di Tras, Sungai Chalit malah di seluruh negeri Pahang. Siasatan yang menyeluruh perlu dilakukan dan Tindakan yang tegas mesti diambil.
Selain itu katanya, kerajaan perlu menjadikan tanah-tanah ini sebagai Tanah Rezab Melayu sebagai ganti terhadap banyak tanah-tanah orang Melayu yang telah digadai dan tergadai,” katanya.
Katanya, PEMBELA berharap agar pihak berkuasa konsisten dalam menguatkuasakan undang-undang dengan penuh ketegasan dan integriti terutamanya dalam isu pencerobohan tanah bukan hanya di Raub bahkan seluruh daerah-daerah di negeri Pahang.