KUALA LUMPUR | Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memberi amaran serta menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang memutar belit maksud kerajaan Allah.
Ketua Pemuda, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, sekiranya Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu masih berkeras, laporan polis akan dibuat secara besar-besaran.
“Amran buat Lim Kit Siang, supaya tidak bersikap kurang ajar dan memutar belit maksud Kerajaan Allah yang ditulis oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Semua orang Islam mengetahui, maksud ‘kerajaan Allah’ yang ditulis oleh Presiden PAS adalah kekuasaan Allah, bukan merujuk kepada mana-mana kerajaan di dunia, bahkan Malaysia, baik kerajaan Perikatan Nasional apatah lagi kerajaan gagal Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Khairil berkata, Kit Siang bukan sahaja salah dan memutar belitkan maksud perkataan tersebut, malah beliau bertindak menghina ‘kerajaan Allah’ sebagai kerajaan gagal dalam melawan pandemik. Sudahlah memutar belit, menghina pula.
“Bukanlah sesuatu yang pelik bagi pemimpin parti seangkatan dengan Lim Kit Siang menghina Islam dan Allah.
“Sekiranya kebiadaban ini dibiar berterusan, keamanan dan keharmonian negara akan terus tergugat akibat mulut lancang dan penghinaan golongan ini,” katanya.
Untuk itu, Pemuda PAS menggesa tindakan berat dikenakan ke atas mereka yang cuba menggugat keharmonian negara.