KUALA LUMPUR | Suruhjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM) ingin memaklumkan bahawa Pengambilan Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 secara ‘One-Off’ Tahun 2021 seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan pada 20 Jun lalu akan dikeluarkan selewat-lewatnya 5.30 petang esok.
SPP menerusi satu kenyataan memaklumkan pengambilan khas ini mengutamakan Graduan Pendidikan sama ada lepasan universiti awam, swasta atau luar negara.
Katanya, urusan ini akan diperluaskan kepada graduan bukan iktisas bukan pendidikan melalui kepelbagaian kaedah pelantikan pada fasa berikutnya sekiranya masih terdapat kekosongan yang tidak dapat ditampung oleh Graduan Pendidikan.
“Sehubungan itu, SPP menyarankan calon-calon yang terlibat agar bersedia.
“Mereka perlu sentiasa melayari laman sesawang dan platform media sosial rasmi SPP bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan urusan temu duga pengambilan khas ini,” katanya.