KUALA LUMPUR | Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada semua atas kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang melepasi sasaran 300,000 dos semalam.
Katanya, melihat kepada pencapaian itu kerajaan optimis bahawa segala usaha yang dirancang berada di landasan yang tepat.
“Pada 15 Jun yang lepas, saya telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) di mana saya mensasarkan peningkatan kadar vaksinasi melebihi 300,000 dos selepas Jun.
“Fokus ketiga dalam Pemulih adalah mempercepatkan program vaksinasi ke atas sebanyak mungkin populasi di Malaysia. Alhamdulillah, semalam kita berjaya mencapai kadar vaksinasi 313,761 dos sehari.
“Sehingga semalam juga, sebanyak 6,585,002 dicatatkan bagi dos pertama dan 2,735,474 lengkap menerima dua dos suntikan vaksin,” katanya menerusi video di laman rasmi Facebooknya hari ini.
Katanya, ia bagi memastikan negara berjaya mencapai imuniti kelompok dan seterusnya membawa kembali menjalani keadaan kehidupan sebelum pandemik COVID-19.
Beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada kepada Menteri Penyelaras Pick, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Adham Baba, semua petugas barisan hadapan, sukarelawan dan seluruh rakyat Malaysia yang bersama menjayakan program vaksinasi terbesar negara.