KUALA LUMPUR | Beberapa lokaliti di Pahang, Sarawak dan Sabah, akan dikuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Khamis ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD di Pahang membabitkan Kampung Kerpal dan Kampung Pinang dekat perkampungan Orang Asli di Rompin manakala Sarawak di Kampung Mambong, Kuching.
Katanya, lokaliti di Sabah pula ialah Kampung Sri Menanti, Tawau serta Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai, Kampung Pulau Gaya dan Kampung Pondo dekat Pulau Gaya, Kota Kinabalu.
“Hingga kini di dua kampung dekat Rompin, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan dalam tempoh seminggu sebanyak enam kes positif direkodkan hasil 120 ujian saringan dilakukan.
“KKM melaporkan terdapat peningkatan kes ketara di Kampung Mambong yang mana 19 kes positif direkodkan hasil 36 ujian saringan dilakukan dengan kadar positif 53 peratus.
“Di Kampung Sri Menanti, KKM turut melaporkan peningkatan kes ketara apabila 15 kes positif direkodkan daripada 36 ujian saringan dilakukan dengan kadar positif 41.67 peratus.
“Setakat ini, KKM melaporkan peningkatan kes di empat kampung dekat Pulau Gaya apabila 215 kes positif dicatat selepas 1,339 ujian saringan dilakukan dengan 25 sampel saringan masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di semua lokaliti itu berkuat kuasa 8 hingga 21 Julai ini susulan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
PKPD bertujuan memudahkan KKM melaksanakan pengesanan awal kes serta memastikan penduduk berisiko dijangkiti kekal dalam kawasan terbabit untuk mengelakkan penularan jangkitan kepada komuniti luar.
Tamat